Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 9 April – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan “Kursus Pengendalian Bahan Psikotropik” sebagai salah satu latihan dalaman bulanan UVH bagi April 2026 dalam usaha memperkukuh kefahaman staf terhadap tatacara pengurusan bahan terkawal dalam perkhidmatan veterinar.
Kursus ini dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran serta pematuhan staf terhadap prosedur pengendalian bahan psikotropik yang merangkumi aspek perolehan, penyimpanan, penggunaan, perekodan dan pelupusan selaras dengan Peraturan-Peraturan Racun (Bahan-Bahan Psikotropik) 1989. Pendekatan ini penting dalam memastikan setiap proses dilaksanakan secara sistematik, selamat dan mematuhi keperluan perundangan semasa.
Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada penyeragaman dokumentasi serta prosedur kerja dalam kalangan staf yang terlibat, sekali gus mengurangkan risiko ketidakpatuhan, kesilapan pengurusan ubat dan isu keselamatan. Pematuhan terhadap garis panduan ini juga dilihat mampu meningkatkan integriti pengurusan bahan psikotropik di peringkat hospital.
Kursus ini dikendalikan oleh Pegawai Farmasi UVH, Pn. Nur Syasya Fasihah Mohd Faizal Nizam Lee yang berkongsi penerangan menyeluruh meliputi definisi, polisi, prosedur pengendalian di unit pengguna serta tatacara pelupusan dan pengurusan insiden seperti yang dibentangkan dalam slaid program.
Program ini melibatkan penyertaan kira-kira 30 orang dalam kalangan pegawai veterinar dan staf berkaitan. Penganjuran kursus ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam memperkukuh kecekapan operasi serta memastikan pengurusan bahan psikotropik di UVH dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.

Penceramah menyampaikan input berkaitan topik program kepada peserta

Penglibatan aktif dalam sesi praktikal menggunakan komputer

Tumpuan penuh diberikan sepanjang sesi berlangsung
Tarikh Input: 09/04/2026 | Kemaskini: 09/04/2026 | zafarul

Fakulti Perubatan Veterinar
43400 Serdang
Selangor