Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 18 Jun – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Kursus Pengendalian dan Latihan Mesin Vcheck V200 pada 16 Jun 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat dan Makmal Diagnostik Klinikal UVH. Kursus ini dianjurkan bagi memperkukuh kompetensi kakitangan makmal dalam pengendalian peralatan diagnostik veterinar serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan diagnostik di UVH.
Penganjuran kursus ini memberi fokus kepada penggunaan mesin Vcheck V200 yang digunakan untuk menjalankan ujian diagnostik pantas (rapid test) bagi menyokong proses diagnosis dan pemantauan kes klinikal secara lebih cekap dan tepat. Latihan yang diberikan merangkumi aspek pengendalian peralatan, penyelenggaraan asas, penggunaan kit ujian serta kaedah interpretasi keputusan ujian yang betul.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 10 orang peserta yang terdiri daripada Pegawai Veterinar, Penolong Pegawai Veterinar dan Juruteknologi Makmal Perubatan. Penganjuran program turut mendapat sokongan daripada My Vet Care Sdn. Bhd. yang menyediakan latihan teknikal bagi menjayakan kursus tersebut.
Perkongsian telah disampaikan oleh En. Mohamed Redzuan Abbas, Technical Support Executive daripada My Vet Care Sdn. Bhd. Menurut beliau, “Pengendalian mesin Vcheck V200 yang betul bukan sahaja membantu memastikan ketepatan keputusan ujian, malah dapat meningkatkan kecekapan proses diagnostik serta memanjangkan jangka hayat peralatan melalui amalan penyelenggaraan yang sistematik.” Beliau turut menekankan kepentingan pemahaman terhadap penggunaan kit ujian dan interpretasi keputusan bagi menyokong perkhidmatan diagnostik veterinar yang lebih berkualiti.
Melalui penganjuran kursus ini, UVH terus komited dalam memperkukuh keupayaan diagnostik veterinar melalui penggunaan teknologi makmal yang moden dan berkesan. Program seumpama ini diharap dapat meningkatkan tahap kompetensi kakitangan, memastikan ketepatan keputusan ujian diagnostik serta menyokong penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan haiwan yang berkualiti kepada pelanggan dan komuniti veterinar.

Taklimat pengenalan Vcheck V200 disampaikan kepada peserta kursus UVH

Peserta mengikuti demonstrasi pengendalian mesin Vcheck V200 secara langsung

Peserta mempraktikkan penggunaan kit ujian dan pengendalian sampel diagnostik
Tarikh Input: 18/06/2026 | Kemaskini: 18/06/2026 | zafarul

Fakulti Perubatan Veterinar
43400 Serdang
Selangor