Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my
SERDANG, 10 Jun – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan “Bengkel Pemantapan CPR Asas Haiwan Kesayangan Siri 1/2026” pada 5 Jun 2026 bertempat di Lobi Klinik Haiwan Kesayangan, UVH. Program ini dianjurkan sebagai inisiatif pembangunan kompetensi bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran warga kerja dalam pengendalian kecemasan kardiopulmonari haiwan kesayangan berdasarkan Garis Panduan RECOVER 2024 yang terkini.
Bengkel ini memberi tumpuan kepada komponen Basic Life Support (BLS) atau Sokongan Hayat Asas yang merupakan elemen kritikal dalam pelaksanaan resusitasi kardiopulmonari (CPR). Latihan yang diberikan merangkumi pengenalpastian awal henti jantung, pelaksanaan tekanan dada berkualiti tinggi serta pengurusan saluran pernafasan yang berkesan bagi meningkatkan kebarangkalian Return of Spontaneous Circulation (ROSC) atau kembalinya peredaran darah secara spontan semasa situasi kecemasan.
Program ini melibatkan penyertaan seluruh warga hospital yang terdiri daripada pelbagai skim perkhidmatan. Bengkel dilaksanakan melalui gabungan sesi perkongsian ilmu dan latihan praktikal secara langsung bagi memastikan peserta memperoleh pemahaman teori serta kemahiran aplikasi yang menyeluruh dalam menghadapi situasi kecemasan sebenar.
Sesi ini dikendalikan oleh Dr. Nurul Afiqah Lokman, Pegawai Veterinar di UVH. Menurut beliau, “Pelaksanaan CPR yang pantas, tepat dan sistematik merupakan faktor penting dalam meningkatkan peluang kelangsungan hidup haiwan yang mengalami henti jantung. Penguasaan kemahiran asas ini perlu sentiasa diperkukuh melalui latihan dan simulasi secara berterusan.” Beliau turut menekankan bahawa pematuhan terhadap Garis Panduan RECOVER yang terkini dapat memastikan setiap intervensi kecemasan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan selaras dengan standard yang ditetapkan.
Melalui penganjuran bengkel ini, UVH terus komited dalam memperkukuh budaya pembelajaran berterusan serta meningkatkan kesiapsiagaan warga kerja dalam pengurusan kes kecemasan veterinar. Program seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan keyakinan dan kompetensi peserta dalam melaksanakan CPR secara sistematik, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti perkhidmatan klinikal dan kebajikan haiwan kesayangan.

Penerangan teori CPR haiwan kesayangan berasaskan Garis Panduan RECOVER

Demonstrasi teknik CPR bagi meningkatkan kemahiran pengendalian kecemasan

Latihan amali CPR menggunakan model simulasi haiwan kesayangan
Tarikh Input: 10/06/2026 | Kemaskini: 10/06/2026 | zafarul

Fakulti Perubatan Veterinar
43400 Serdang
Selangor