Naib Canselor UPM Santuni Warga UVH Dalam Program Meet & Talk Edisi Khas | HOSPITAL VETERINAR UNIVERSITI
» BERITA » Naib Canselor UPM Santuni Warga UVH dalam Program Meet & Talk Edisi Khas

Naib Canselor UPM Santuni Warga UVH dalam Program Meet & Talk Edisi Khas

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 6 Mac – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan program “Meet & Talk UVH Edisi Khas bersama Naib Canselor UPM” pada 4 Mac 2026 di Surgeri Pelajar, FPV.

 

Sesi Meet & Talk UVH merupakan salah satu pendekatan dalaman sebagai medium komunikasi dua hala antara pihak pengurusan dan warga hospital. Melalui sesi ini, para staf berpeluang mendapatkan penerangan berkaitan hala tuju, perancangan dan keutamaan semasa hospital berdasarkan pencapaian prestasi serta cabaran sedia ada, di samping memperkukuh hubungan profesional dalam kalangan staf. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap warga hospital memahami peranan masing-masing dalam menyokong penyampaian perkhidmatan veterinar yang berkualiti.

 

Program kali ini merupakan edisi khas dengan kehadiran Naib Canselor Universiti Putra Malaysia, YBhg. Dato' Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah sebagai tetamu istimewa yang berkongsi aspirasi universiti kepada warga UVH. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga UVH atas pencapaian membanggakan sepanjang tahun 2025.

 

Selain itu, beliau turut menyatakan harapan agar UVH terus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan utama dalam bidang veterinar di Malaysia. Peranan ini signifikan kerana UVH merupakan perintis hospital veterinar badan kerajaan di negara ini yang menyediakan perkhidmatan klinikal, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan veterinar secara bersepadu, selari dengan teras utama kerangka strategik True North UPM iaitu perkhidmatan melangkaui jangkaan serta pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik.

 

Program ini melibatkan penyertaan kira-kira 140 orang yang terdiri daripada ahli pengurusan fakulti dan hospital, warga UVH serta para pensyarah klinikal. Penganjuran program ini dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan operasi hospital dapat dilaksanakan secara lebih bersepadu, selaras dengan aspirasi Universiti Putra Malaysia.

 

Ketibaan Naib Canselor UPM disambut oleh Dekan Fakulti Perubatan Veterinar

 

Perkongsian oleh Timbalan Dekan Hospital

 

Suasana dimeriahkan dengan penglibatan warga UVH
 

Tarikh Input: 06/03/2026 | Kemaskini: 06/03/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL VETERINAR UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 3955
000-000-000
S, (07:58:20am-08:03:20am, 10 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]