UPM Dan VetCare Meterai MoA Bagi Memperkukuh Perkhidmatan Diagnostik Haiwan | HOSPITAL VETERINAR UNIVERSITI uvh
» BERITA » UPM dan VetCare Meterai MoA bagi Memperkukuh Perkhidmatan Diagnostik Haiwan

UPM dan VetCare Meterai MoA bagi Memperkukuh Perkhidmatan Diagnostik Haiwan

 

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

 

SERDANG, 16 April – Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Hospital Veterinar Universiti (UVH) memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama VetCare Animal Health (M) Sdn. Bhd. dalam usaha memperkukuh perkhidmatan diagnostik haiwan serta menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran klinikal.

 

Majlis pertukaran MoA ini menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam penyediaan mesin penganalisis diagnostik Vcheck V200 serta pembekalan kit ujian diagnostik yang berkaitan bagi tujuan diagnosis penyakit dalam penyampaian perkhidmatan rawatan haiwan. Melalui inisiatif ini, kecekapan diagnostik haiwan dapat dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi terkini dalam industri perkhidmatan veterinar.

 

Menerusi kerjasama ini juga, pihak VetCare Animal Health (M) Sdn. Bhd. menaja secara pinjaman mesin Vcheck V200 Analyzer kepada UVH sebagai sumbangan in-kind, di samping menyediakan sokongan teknikal, latihan serta khidmat penyelenggaraan sepanjang tempoh perjanjian.

 

Kerjasama strategik ini turut memberi manfaat kepada pelajar program Doktor Perubatan Veterinar (DVM) melalui pendedahan langsung kepada penggunaan peralatan diagnostik moden dalam persekitaran klinikal sebenar. Pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman ini dijangka dapat melahirkan graduan yang lebih kompeten dan bersedia menghadapi keperluan industri veterinar.

 

Selain itu, inisiatif ini juga berupaya memperkukuh peranan UPM sebagai pusat rujukan dalam pengujian dan pembangunan diagnostik haiwan, selaras dengan aspirasi universiti untuk meningkatkan kecemerlangan penyelidikan serta jaringan industri di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

MoA yang dimeterai bagi tempoh dua (2) tahun ini merupakan langkah awal kolaborasi antara kedua-dua belah pihak dan berpotensi untuk diperbaharui berdasarkan persetujuan bersama, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang lebih meluas dalam bidang inovasi, penyelidikan dan latihan industri pada masa hadapan.

 

Simbolik pengenalan produk

 

Penerangan manual penggunaan produk kepada staf terlibat

 

Produk siap dipasang dan sedia untuk digunakan

Tarikh Input: 16/04/2026 | Kemaskini: 16/04/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL VETERINAR UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 3955
000-000-000
W, (04:13:15am-04:18:15am, 11 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]