UVH Jadi Rujukan Zoo Johor Dalam Pembangunan Pusat Rawatan Haiwan | HOSPITAL VETERINAR UNIVERSITI uvh
» BERITA » UVH jadi Rujukan Zoo Johor dalam Pembangunan Pusat Rawatan Haiwan

UVH jadi Rujukan Zoo Johor dalam Pembangunan Pusat Rawatan Haiwan

Oleh: Muhammad Zafarul Adib Zaidi | zafarul@upm.edu.my

SERDANG, 14 Januari – Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima lawatan rasmi daripada delegasi Zoo Johor dalam satu program lawatan penanda arasan fasiliti pemeriksaan dan rawatan haiwan. Lawatan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap keupayaan UVH sebagai hospital veterinar rujukan yang memiliki kemudahan serta sistem pengurusan rawatan haiwan yang komprehensif.

 

Penerangan taklimat lawatan oleh YBhg. Dekan

Penyampaian token penghargaan dari Zoo Johor

Lawatan berkenaan dilaksanakan susulan permohonan rasmi pihak Zoo Johor bagi mendapatkan rujukan berkaitan perancangan dan pembangunan pusat rawatan haiwan, khususnya melibatkan pengurusan kesihatan hidupan liar. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Zoo Johor untuk menaik taraf kemudahan sedia ada serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan rawatan veterinar selaras dengan keperluan semasa.

 

Delegasi lawatan turut dibawa ke Muzium Anatomi Haiwan

Delegasi Zoo Johor diketuai oleh Tuan Haji Muhamad Syahrizat bin Alwee, Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Johor dan disertai oleh pegawai-pegawai pentadbiran, pegawai veterinar serta wakil agensi dan syarikat perunding yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembangunan Zoo Johor. Secara keseluruhan, seramai 19 orang delegasi terlibat dalam lawatan ini, sekali gus mencerminkan komitmen serius pihak Zoo Johor terhadap aspek penambahbaikan fasiliti pemeriksaan dan rawatan haiwan.

 

Pelawat berpeluang meninjau fasilti haiwan UVH dengan lebih jelas

Sepanjang lawatan, pihak Zoo Johor memfokuskan beberapa aspek utama sebagai rujukan, antaranya susun atur dan kemudahan fasiliti UVH bagi pembangunan pusat rawatan haiwan. Selain itu, delegasi turut meneliti jenis rawatan veterinar yang dijalankan, senarai peralatan serta kelengkapan klinik yang tersedia terutama bagi pengendalian hidupan liar, di samping mengenal pasti peralatan asas yang perlu ada bagi sesebuah klinik veterinar.

 

Dr. Nor-Alimah memberi gambaran spesifikasi pembangunan ruang pengimejan

Perbincangan mengenai pengurusan kandang haiwan besar

Delegasi turut diberikan penerangan berkaitan pengurusan kakitangan yang terlibat dalam pelaksanaan prosedur rawatan haiwan, termasuk pembahagian tugas, aliran kerja dan pematuhan kepada aspek keselamatan serta kebajikan haiwan. Perkongsian ini memberi gambaran menyeluruh mengenai pendekatan pengurusan klinikal yang diamalkan di UVH dalam memastikan rawatan dijalankan secara sistematik dan berkesan.

 

Keterujaan melihat kecomelan kucing-kucing kuarantin

Pihak FPV dan UVH menyambut baik lawatan ini dan berkongsi pengalaman serta amalan terbaik dalam pengurusan hospital veterinar, khususnya melibatkan kes-kes kompleks dan pelbagai spesies haiwan. Lawatan ini juga dilihat sebagai platform penting untuk pertukaran maklumat dan pengukuhan jaringan profesional antara institusi akademik dan pengurusan zoo.

 

YBhg. Dekan menerangkan pengoperasian unit farmasi

Secara keseluruhannya, lawatan rasmi ini diharap dapat membantu pihak Zoo Johor dalam merancang pembangunan pusat rawatan haiwan yang lebih tersusun, berfungsi dan memenuhi piawaian perkhidmatan veterinar. Pada masa yang sama, lawatan ini mengukuhkan lagi peranan UVH sebagai hospital veterinar rujukan yang menjadi pilihan institusi luar untuk tujuan penanda arasan dan perkongsian kepakaran.

 

Sesi ramah mesra sebelum bersurai

Gambar kenangan bersama antara dua institusi

UVH jadi Rujukan Zoo Johor dalam Pembangunan Pusat Rawatan Haiwan

Tarikh Input: 16/01/2026 | Kemaskini: 11/02/2026 | zafarul

PERKONGSIAN MEDIA

HOSPITAL VETERINAR UNIVERSITI
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 3955
000-000-000
X, (06:00:16pm-06:05:16pm, 27 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]