|
Oleh: Dr. Syahirah binti Ahmad Affandi | syaaffandi@upm.edu.my KANGAR, 15 Julai - Seramai 24 pemilik kuda di negeri Perlis menyertai Program Pemindahan Ilmu Asas Pengurusan dan Kesihatan Kuda anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis dengan kerjasama Hospital Veterinar Universiti (UVH), Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada 14 dan 15 Julai 2025, menggunakan dana komuniti tajaan Lembaga Totalisator Malaysia. |
|
![]() |
![]() |
|
Barisan penceramah dan fasilitator UVH, UPM semasa sesi latihan amali di Pusat Ekuin Perlis. |
Peserta bersama penceramah dan fasilitator bergambar selepas menerima sijil penyertaan di Pusat Ekuin Perlis. |
|
Program dua hari ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta kesedaran peserta berkaitan teknik penjagaan kuda secara lebih sistematik bagi memastikan tahap kesihatan dan kesejahteraan haiwan sentiasa terpelihara. Sesi perkongsian teori telah diadakan di Dewan Serbaguna Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Perlis di Kangar, manakala latihan amali berlangsung di Pusat Ekuin Perlis, Batu Pahat. |
|
![]() |
![]() |
|
Sesi kuiz interaktif melalui platform Kahoot! diadakan bagi menguji pemahaman peserta. |
Peserta bertanya soalan dan berbincang mengenai cara identifikasi kuda bersama Dr Noorashimah binti Roslim. |
|
Seramai lapan staf daripada UVH dijemput sebagai penceramah dan fasilitator bagi berkongsi ilmu serta pengalaman praktikal bersama peserta. Antara topik yang dibincangkan termasuk teknik identifikasi kuda, pengurusan kandang, pengesanan awal penyakit, langkah menghadapi kes kecemasan serta kaedah pengendalian luka dengan berkesan. |
|
![]() |
![]() |
|
Dr. Syahirah binti Ahmad Affandi pada berkongsi mengenai asas penjagaan kuda kepada peserta program. |
Peserta-peserta yang mengikuti kursus teori Program Pemindahan Ilmu (Ekuin), Kangar, Perlis. |
|
Program ini menjadi platform penting untuk menyebarkan maklumat asas berkaitan penjagaan kuda selain menggalakkan pematuhan etika dalam kalangan pemilik kuda. Dengan ilmu yang diperoleh, peserta lebih bersedia mengesan tanda-tanda awal penyakit serta mengurangkan risiko salah pengendalian yang boleh menjejaskan kesejahteraan haiwan. Selain itu, sesi amali membolehkan peserta mempraktikkan teknik pemeriksaan kesihatan asas dan rawatan luka dengan bimbingan doktor veterinar bertauliah. Pendekatan ini dapat meningkatkan keyakinan dan kemahiran peserta secara langsung. |
|
![]() |
![]() |
|
Seorang peserta mencukur bulu di bahagian luka semasa amali pengurusan luka yang dipantau oleh Encik Muhammad Firdaus bin Nizamuddin. |
Dr Azim Salahudin bin Mohamad memberi penerangan kepada peserta mengenai teknik asas pemeriksaan kesihatan kuda semasa sesi amali pada hari kedua program. |
|
Hasil maklum balas peserta rata-rata menyatakan program ini membuka peluang untuk mereka memahami tanggungjawab terhadap kebajikan haiwan. Mereka juga berpeluang mempelajari teknik pengesanan kes kecemasan dan rawatan luka dengan cara yang lebih sistematik. Perkongsian ilmu ini bukan sahaja membantu memperkukuh amalan penjagaan kuda yang selamat dan berkesan, malah mewujudkan rangkaian kerjasama antara pemilik serta pengamal veterinar di negeri ini. |
|
![]() |
![]() |
|
Dr Siti Norain binti Azhar memberi penerangan mengenai cara melakukan pemeriksaan fizikal kuda kepada kumpulan kecil peserta amali. |
Dr Azim Salahudin bin Mohamad memantau seorang peserta yang sedang mendapatkan kadar degupan jantung. |
|
Program seumpama ini dijangka diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan memantapkan komuniti berkuda di seluruh negeri Perlis. |
|
![]() |
|
|
Sesi amali oleh Dr Muhammad Ammar Qusyairi bin Hisham berkenaan pemeriksaan fizikal kuda kepada kumpulan kecil amali sambil dibantu oleh Encik Mohamad Khairil Anuar bin Abdul Hamid. |
|
Tarikh Input: 16/07/2025 | Kemaskini: 22/07/2025 | faizeenazani

Fakulti Perubatan Veterinar
43400 Serdang
Selangor